Your browser version is outdated. We recommend that you update your browser to the latest version.

Pekan Kati Perlukan 'Arena Square' Mini

Posted 3/12/2013

PADANG RENGAS 2 Dis. - Sebuah 'arena square' mini perlu dibina di pekan Kati dekat sini bagi kemudahan penduduk berhimpun atau menganjurkan sesuatu majlis termasuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Zainun Mat Nor berkata, sebelum ini pihaknya terpaksa menyewa khemah setiap kali ingin mengumpulkan penduduk kampung dan kerana itu pembinaannya dilihat wajar bagi mengurangkan kos dalam jangka masa panjang.

"Saya telah membangkitkan perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini. Namun perkara ini hanya boleh direalisasikan jika mendapat peruntukan dan persetujuan daripada kerajaan negeri.

"Tapak perniagaan berbumbung itu nanti bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga kecil, malah boleh digunakan untuk menyambut hari perayaan tertentu. Kawasan itu juga boleh dijadikan 'pasar sehari' yang diadakan di pekan Kati pada setiap hari Khamis," katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan sumbangan dermasiswa Yayasan Perak dan penyampaian lesen memandu di Pusat Khidmat DUN Chenderoh di sini baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 32 pelajar menerima cek dermasiswa sementara 30 lagi menerima lesen memandu yang diperoleh di bawah program anjuran DUN berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainun turut menyarankan kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas bagi kerja-kerja penyelenggaraan ternakan rusa di Kampung Chegar Galah di sini.

Menurut beliau, kawasan ternakan itu terletak berhampiran Sungai Perak sekaligus berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan.

"Perkara ini juga telah saya bawa ke perhatian Sidang DUN supaya penternak rusa di sana diberikan bimbingan agar dapat menguruskan ternakan mereka secara lebih baik," katanya.


Artikel Penuh Dari © Utusan Melayu (M) Bhd