Your browser version is outdated. We recommend that you update your browser to the latest version.

Lukisan Ada Falsafah Tersendiri..!

Posted 23/12/2013

SETIAP lukisan ada falsafah tersendiri. Itulah pandangan ringkas yang diluahkan ilustrator kanak-kanak, Nur Azmi Mokhtar, 33, tentang nilai seni sebuah lukisan.

Biarpun hanya secalit warna dicorengkan ke atas kanvas lukisan, ia tetap boleh diangkat menjadi karya seni jika mempunyai subjek untuk diketengahkan.

“Kadang-kadang ada orang pergi merantau satu dunia untuk mencari subjek lukisan, namun akhirnya yang dicari rupa-rupanya ada depan tangga rumah.

“Saya suka gaya lukisan naif dan bersifat langsung. Tidak semestinya lukisan seni halus sahaja yang ada falsafah,” ujarnya yang gemar menonjolkan cara hidup kampung melalui lukisan.

Tambahnya, lukisan naif boleh dilihat di mana-mana sahaja dan ia wujud sejak zaman purba. Lukisan tersebut telahpun diukir pada dinding gua sejak berjuta tahun lampau.

Cintanya terhadap aliran lukisan ‘keanak-anakkan’ itu membuatkan Nur Azmi yang lebih dikenali dengan nama Mie Mambo berjaya menerbitkan lebih 100 naskhah ilustrasi buku kanak-kanak dengan kerjasama bersama penulis lain.

Novel grafik

Bukan itu sahaja, Mie Mambo turut menghasilkan sebanyak 13 novel grafik dan 33 buku kanak-kanak yang ditulis dan dilukis sepenuhnya oleh beliau sepanjang 23 tahun mendedikasikan hidupnya kepada lukisan.

Seperti mana orang lain, cinta pertama pasti akan dikenang sampai bila-bila. Begitulah perasaan Mie Mambo terhadap novel grafik pertamanya iaitu Mambo di Kuale!! Hikayat mencari cinta.

Novel grafik tersebut mengisahkan tentang perjalanan pemuda bernama Putera Hj. Hassan dalam mencari cinta. Ia diceritakan menerusi ilustrasi grafik yang santai dan dipenuhi visual simbolik tentang asam garam perjalanan hidup Putera atau si Mambo.

Dua tiga muka surat awal sudah mampu membuatkan pembaca tertarik dengan perwatakan Mambo yang bersahaja, gila-gila dan gemar berjenaka. Tidak keterlaluan jika dikatakan jejaka tersebut mempunyai perwatakan tipikal lelaki Melayu ketika dibuai dalam alam percintaan.

“Kita tau awak ni bukan tak baik. Tapi ada sikit pelik la! Kalau bukan calang-calang orang macam kita ni, rasanya la, malu berkawan dengan awak.

“Tapi yang penting awak bukan jenis hipokrit!,” begitulah antara dialog mencuit hati si kekasih hati Mambo kepadanya.

Namun, novel grafik tersebut bukan sekadar mengetengahkan kisah cinta sang Arjuna dan sang Dewi semata-mata, ia lebih kepada realiti kehidupan seorang pemuda yang menjalani liku kehidupan di ibu kota.

Mambo digambarkan sudah tiga tahun tidak pulang ke kampung halamannya di Kampung Kati, Kuala Kangsar, Perak kerana mahu mengejar impian menjadi seorang pelukis dan penulis sebagai punca rezeki.

Ketegaran

Ketegarannya tidak pulang menjenguk ibu ayah berpunca daripada cabaran ayahnya yang memberi amaran jangan pulang ke kampung selagi tidak menjalani kehidupan seperti orang biasa. Mambo bukan lagi seorang kutu embun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Sepanjang kepulangannya di kampung, Mambo memerhati setiap kebaikan yang berlaku di depan matanya. Sesekali dia terdetik untuk menjadi pelaku ke arah kebaikan dan menerap nilai-nilai keagamaan yang selama ini hanya dianggap agenda sampingan bukannya keutamaan dalam kehidupan.

Menurut Nur Azmi, novel tersebut memberi impak yang besar kepada perjalanan kariernya sebagai ilustrator sepenuh masa sehingga watak Mambo berkenaan melekat pada namanya hingga ke hari ini.

Biarpun novel setebal 201 muka surat itu diterbitkan pada tahun 2006 bagi cetakan pertama, ia masih terdapat di pasaran dan dijual pada harga RM19. Novel tersebut diterbitkan Al-Ameen Serve Holdings.

Artikel Penuh Dipetik Dari Kosmo: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm#ixzz2oJHgTwmd
Hakcipta terpelihara