Your browser version is outdated. We recommend that you update your browser to the latest version.

Ekspedisi Bertukar Tragedi..

Posted 19/3/2014

Kuala Kangsar - Dua daripada empat pelajar Tingkatan 5 Kolej Vokasional Padang Rengas yang dilaporkan hilang semasa menyertai ekspedisi di Gunung Bubu disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas.

Mayat kedua-duanya, Adam Asraf Azman dan Muhamad Amir Ashraff Baharuddin masing-masing berusia 17 tahun ditemui di tepi Sungai Gading, kira-kira 13 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi anggota penyelamat kira-kira jam 3.20 petang, semalam.

Manakala, dua lagi pelajar, Muhamad Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd Fitri ditemui pada hari sama berhampiran sungai berkenaan kira-kira 9.30 pagi dalam keadaan tidak bermaya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Ahmad Rabawi Abdul Jalil berkata, dua mangsa yang selamat tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sedikit lesu.

Menurutnya, hasil maklumat diberikan Muhamad Putera dan Siti Azimah, lokasi pencarian terhadap dua lagi mangsa dapat diperincikan.

“Berdasarkan maklumat, dua mangsa itu kemungkinan lemas, jadi kita fokuskan pencarian di pesisir sungai sebelum menemui kedua-dua mangsa berhampiran sungai berkenaan,” katanya.

Bapa tidak sangka Sabtu lalu pertemuan terakhir

Dalam pada itu, bapa kepada Adam Asraf, dikenali sebagai Azman, 44, memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan anak sulungnya itu pada Sabtu lalu ketika menghantar barang kelengkapan perkhemahan kepada anaknya.

Katanya, dia tidak menyangka bahawa pertemuan itu merupakan pertemuan terakhir antara dia dan anaknya namun dia menerima segala ketentuan yang berlaku.

“Saya terima pemergian Adam Asraf. Saya memang tahu dia nak pergi aktiviti ini dan saya pun tidak halang anak saya untuk menyertai aktiviti lasak seperti ini.

“Saya dapat tahu kehilangan anak saya pada Ahad pagi lepas, salah seorang guru sekolah dia yang beritahu saya. Ada juga saya sertai operasi mencari dan laluan di atas sana memang agak teruk,” ujarnya.

Kecewa pengurusan ekspedisi

Bapa saudara Muhammad Amir yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham, namun mengakui kecewa dengan corak pengurusan sekolah yang menganjurkan ekspedisi itu.

Menurutnya, tidak sepatutnya pelajar dibiarkan turun dari lokasi gunung bersama rakan-rakan mereka tanpa pengawasan guru pengiring.

“Saya difahamkan, empat pelajar itu terpisah daripada rakan-rakan mereka yang lain dan saya hairan kenapa perjalanan masih diteruskan walaupun bilangan pelajar tidak mencukupi...

“Malah, saya dengar dua mangsa yang lemas itu memang sudah lemas sejak hari pertama mereka hilang lagi. Saya terima berita ini, namun kecewa dengan cara ekspedisi ini dijalankan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu kepada Muhamad Putera, Maziah Mohd Said, 51, bersyukur kerana anaknya ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Syukur alhamdulillah anak saya sudah dijumpai. Tiada apa yang dapat saya katakan, saya memang bersyukur sangat-sangat,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga, semalam disertai 171 anggota daripada pelbagai agensi dan operasi berakhir sebaik sahaja semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.